Tugasan hampir 1,000 atlet dan juga pegawai dari sepuluh kontinjen Institusi Pengajian Tinggi Islam Malaysia (IPTIM) setelah berkampung di Perlis selama lima hari baru-baru ini.

Sebanyak 12 acara telah diper­tandingkan termasuk sukan padang antaranya bola sepak dan tarik tali dan sukan indoor iaitu silat dan pingpong dan sukan outdoor seperti memanah.

Buat pertama kali juga pada tahun ini Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) diberikan kepercayaan sebagai tuan rumah bagi acara sukan dwi tahunan ini.

Kali ini juga KUIPs turut bertanggungjawab menjenamakan semula SUPTIM apabila mewujudkan satu logo khas SUPTIM, bendera atau panji khas SUPTIM serta turut memperkenalkan maskot ‘Singa Utara’ yang sinonim dengan negeri Perlis.

Ia bertepatan dengan objektif SUPTIM dianjurkan bagi memantapkan ukhwah Islamiyah dan membentuk rangkaian institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang berteraskan Islam dalam pelbagai bidang dan antaranya termasuk sukan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor KUIPs berkenan merasmikan penutupan SUPTIM.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Laila­tul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Rektor KUIPs, Dr. Mohd. Mizan Mohamad Aslam.

Semasa bertitah, baginda me­nyifatkan sukan adalah landasan untuk menyumbang kepa­da nilai yang positif seperti semangat bertanding secara sihat, muhibah, bertolak ansur, tole­ransi, kesefahaman dan pembi­naan moral serta fizikal yang le­bih berkualiti.

“Sesungguhnya sukan mampu memberikan manfaat yang besar terhadap individu dan organisasi,” titah baginda.

Baginda juga menzahirkan ra­sa gembira kerana kesemua IPTIM di negara ini telah mengambil bahagian dalam temasya su­kan ini.

Sementara itu, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) diumumkan sebagai juara keseluruhan SUTIPM 2017.

Dalam keputusan ini, USAS berjaya memungut keseluruhan 34 pingat iaitu 14 emas, 12 perak dan lapan gangsa.

Sementara itu KUIPs berada di tempat ke dua dengan 23 pungutan pingat dengan lima emas, lapan perak dan sepuluh gangsa.

Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) pula terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga dengan lapan pungutan pingat iaitu tiga emas, tiga perak dan dua gangsa.

Pada majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan menyampaikan piala pusingan kepada pasukan USAS.

Baginda berdua juga menyaksikan penyerahan bendera SUPTIM oleh Dr. Mohd. Mizan Mohamad Aslam kepada Naib Canselor KUIM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Taib Dora yang bakal menjadi tuan rumah temasya sukan berkenaan pada tahun 2019.