Namun kini tidak lagi kerana mereka sudah boleh menikmati kemudahan tersebut di negeri sendiri apabila hospital pakar swasta pertama di Perlis iaitu Hospital Pakar KPJ Perlis yang terletak di Jalan Datuk Wan Ahmad di sini, mula dibuka secara rasmi hari ini.

Lebih istimewa majlis pe­rasmian hospital tersebut di­sempurnakan sendiri oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Berangkat sama pada majlis itu ialah, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Setia­usaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Syarifuddin Syed Ihsan dan Presiden yang juga Pe­ngarah Urusan KPJ, Datuk Amiruddin Abdul Satar.

Hospital KPJ keenam di kawasan Utara dan ke-25 di seluruh negara itu dibina dengan usahasama KPJ Healthcare Berhad, anak syarikat Johor Corporation dan Yayasan Islam Negeri Perlis (YIPs).

Amiruddin berkata, pihaknya yakin pembukaan KPJ di Perlis akan dapat memenuhi keperluan masyarakat tempatan selain penduduk di negara jiran khususnya Selatan Thailand.

Katanya, hospital lapan tingkat yang dibina di kawasan seluas 15,213 meter persegi itu menawarkan perkhidmatan perubatan dan pembedahan yang lengkap termasuk pengimejan diagnostik.

Selain itu katanya, perkhidmatan kemalangan dan kecema­san juga beroperasi 24 jam.

“KPJ Perlis menawarkan per­khidmatan makmal peruba­tan, perkhidmatan fisioterapi, perkhidmatan endoskopi dan farmasi. Setakat ini, kita mempunyai 126 kakitangan selain 11 konsultan perubatan pakar yang berpengalaman.

“Mereka merangkumi pakar dalam bidang ortopedik, rawatan telinga, hidung dan tekak, rawatan penyakit dalaman, radiologi, perbidanan, sakit puan serta pediatrik,” katanya.