Ketua Konvoi Kembara Mer­deka, Norkhanizan Manaf ber­kata, sebanyak 135 peserta da­ripada 15 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membabitkan 20 kende­raan termasuk motosikal berkuasa tinggi menyertai jelajah di tiga buah negeri itu.

Menurutnya, konvoi bermula di Pulau Pinang pada 4 Ogos lalu sebelum ke Kedah dan singgah di Perlis.

“Di setiap lokasi persinggahan, kami bertemu orang ramai untuk menyerahkan Jalur Gemilang selain menyeru mereka memasangnya di kereta, rumah, premis atau mana-mana tempat yang dirasakan sesuai.

“Kita mahu pada setiap jiwa rakyat mempunyai semangat patriotik dan cintakan negara de­ngan mengibarkan Jalur Gemilang. Kita ingin memupuk kesedaran ini terhadap seluruh rakyat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Arked Niaga, Padang Besar di sini, hari ini.

Konvoi Kembara Merdeka itu tiba di negeri ini hari ini dan disambut oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Hamdan Bahari yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Hamdan kemudian melepaskan konvoi tersebut bagi peringkat negeri ini.

Tambah Norkhanizan yang juga Pengarah Bahagian Perhubungan Antarabangsa Jabatan Penerangan, konvoi tersebut selepas ini akan diteruskan oleh kumpulan lain bagi melengkap­kan jelajah di seluruh negara yang kemuncaknya pada 31 Ogos nanti.

“Diharap program seperti ini dapat menyemarakkan lagi sam­butan Hari Kemerdekaan ter­utama dalam kalangan generasi baharu yang bakal mewarisi negara ini pada masa depan,” ujarnya.