Bagi pemenang, segala hasil usaha dengan melakukan latihan gigih pastinya berbaloi, sekalipun sudah adat pertandingan apabila akan ada yang kalah dan menang.

Kontinjen Perlis walaupun mewakili dari sebuah negeri paling kecil di utara tetapi tetap memberi saingan sengit supaya tidak berada pada kedudukan tercorot.

Sebanyak 46 anggota dan pegawai termasuk tiga wanita Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis terlibat dalam sembilan acara yang dipertandingkan pada tahun ini.

Antara acara dipertandingkan termasuk Kawad Operasi Hantaran Jauh Berhalangan (LLO), Kawad Operasi Menyelamat Di Air (PPDA), Cari dan Menyelamat Mangsa Menggunakan Kompas (Sarnav) dan Kawad Operasi Kemalangan Jalan Raya (RTA).

Penolong Pengarah Bahagian Latihan JBPM negeri, Roslan Hasnan berkata, lebih manis apabila kontinjen Perlis menjuarai RTA sekali gus berjaya membawa pulang pingat emas.

Roslan berkata, lebih membanggakan kerana pada tahun lepas kontinjen itu juga menjua­rai acara RTA.

“Pasukan kita bertungkus lumus dalam sesi latihan tetapi buat pertama kali dalam RTA kali ini, kita dimasukkan pertandi­ngan cara menyelamat menggunakan pelampung udara yang pasti­nya memberi cabaran baharu,” kata­nya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pasukan itu berjaya menyelesaikan cara-cara penyelamatan RTA dengan sempurna sehingga layak menerima pemarkahan yang tinggi daripada pihak juri.

Roslan berharap pada tahun depan, Bomba Perlis mampu mempertahankan gelaran juara RTA lagi.

Selain itu, pada PKK kali ini juga Bomba Perlis mendapat tempat kedua bagi acara Sarnav.

Ternyata pengalaman pasukan Bomba Perlis banyak memberi kelebihan untuk pulang dengan pingat perak.

Beliau berkata, dengan acara Sarnav itu juga mampu mendedahkan peserta dengan penggunaan kompas bagi mencari mang­sa hilang di bukit dan gunung untuk digunakan pada masa de­pan.

“Kontinjen Perlis mungkin sukar untuk menunjukkan kekuatan dari segi tenaga berbanding dengan negeri lain yang mempunyai anggota lebih muda tetapi kita pertaruhkan dengan pe­nga­laman yang ada,” katanya.

Katanya, pihaknya tetap berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pasukan dan semua pihak kontinjen Perlis di pe­ringkat atasan sehingga bawahan yang bersatu untuk menjadi pasu­kan terbaik.