Bagi rakyat negeri ini pula, mereka yang mengidam makanan tersebut sekurang-kurangnya perlu menempuh perjalanan antara tujuh sehingga lapan jam meliputi jarak sejauh lebih 400 kilometer semata-mata ingin membeli keropok ber­kenaan.

Bagaimanapun, peminat maka­nan tersebut selepas ini tidak perlu lagi risau kerana pembuatan ke­ropok lekor juga sudah mula dilaksanakan di negeri ini.

Jangan terkejut, jika anda melalui jalan di Kampung Sungai Baru, Simpang Empat di sini, terdapat sebuah kilang membuat keropok lekor iaitu satu-satunya lokasi membuat makanan berkenaan di Perlis.

Keropok Lekor Perlis hasil keluaran Mohsen Amdan Food Services itu mula beroperasi sejak bulan Febuari lalu dan mendapat sambutan cukup hebat khususnya dari penduduk negeri ini dan di sekitar Kedah serta Pulau Pinang.

Pengurus Pemasaran Keropok Lekor Perlis, Anwar Abd. Rahim berkata, sejak mula beroperasi, keropok lekor tersebut mendapat tempahan daripada pelbagai pihak khususnya restoran, hotel, kedai-kedai makan sekitar utara dan orang ramai juga boleh mendapatkan makanan tersebut di kilangnya di Sungai Baru.

Katanya, terdapat dua pilihan keropok lekor yang dijual iaitu bersaiz kecil dan besar dengan masing-masing berharga RM6 dan RM7 sebungkus manakala bagi setiap seki­logram pula berharga RM16 berserta sos yang dihasilkan sendiri.

Menurutnya, keropok yang dihasilkan itu sedikit berbeza berbanding keropok lekor Terengganu kerana ia dibuat dengan menggunakan dua jenis ikan sahaja iaitu Ikan Tamban dan Selayang selain menggunakan tepung sagu basah.

“Beza keropok lekor Perlis dan Terengganu ialah di sana (negeri Pantai Timur) mereka menggunakan banyak jenis ikan manakala keropok lekor di sini hanya menggunakan dua jenis ikan. Apa-apa pun rasa dan keenakannya lebih kurang sama dengan keropok lekor Pantai Timur selain mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Proses membuat keropok lekor berkenaan dari peringkat awal sehingga melalui proses pembungkusan hanya memakan masa 45 minit. Setakat empat bulan pertama ini, sambutan yang diterima cukup hebat khususnya mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baharu di negeri ini.

“Selain di dalam negara, keropok lekor ini juga sudah menembusi pasaran antarabangsa iaitu di Arau Saudi yang membuat tempahan 500 kilogram bagi setiap bulan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Anwar, selain di Sungai Baru, antara cawangan lain keropok lekor berkenaan adalah di Kajang, Selangor.

Katanya, idea menjadikan Per­lis sebagai antara negeri penge­luar keropok lekor tercetus semasa rombongan Raja Perlis yang sempat mencuba makanan itu dalam majlis di Kuala Lumpur.

“Setelah mencuba, Raja Perlis berkenaan dengan rasa keropok lekor keluaran Mohsen Amdan itu seterusnya bercadang menyediakan tempat untuk penghasilan keropok lekor itu di Perlis. Alhamdulilah, hasrat tersebut direa­lisasikan dengan turut mendapat kerjasama Majlis Agama islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang menyediakan tempat ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, orang ramai yang ingin membuat tempahan keropok lekor berke­naan boleh menghubunginya di talian 01127052075 atau melayari laman facebook Keropok Lekor Perlis atau di Instagram, khepokmohseng.