Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya sudah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu bagaimanapun kerajaan masih belum memberi kata putus mengenainya.

Dalam masa katanya, kerajaan negeri sebelum ini juga telah merangka satu pelan pembangunan induk dengan melantik pihak konsultan mengkaji bentuk pembangunan yang bakal dilaksanakan di kawasan Wang Kelian.

“Kita berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pembukaan semula
Wang Kelian supaya lokasi itu dapat membangun seperti kawasan-kawasan lain di sempadan.

“Kita akui apabila kerajaan menarik balik kebenaran keluar masuk di Wang Kelian telah menyebabkan penduduk dan peniaga di kawasan itu terjejas.

“Kita sedar kerajaan terpaksa bertindak demikian ketika itu bagi mengetatkan kawalan keselamatan berikutan isu pemerdagangan manusia di kawasan berkenaan pada masa itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan Masjid Al- Mursyid, Guring, Pauh di sini hari ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika bertitah merasmikan
majlis pecah tanah jeti bersepadu Sanglang di Kuala Perlis semalam, merayu kerajaan Persekutuan supaya membuka semula zon aliran bebas di Pos Imigresen Wang Kelian, Padang Besar.

Baginda bertitah, perkara itu telah disampaikan kepada Perdana Menteri semasa mengadakan lawatan kerja ke negeri ini, baru-baru ini.

Zon aliran bebas di Pos Imigresen Wang Kelian yang membenarkan rakyat di kedua-dua buah negara membeli-belah sejauh satu kilometer dari pos berkenaan dan menjadi tarikan pelancong di negeri ini telah digantung atas faktor keselamatan bermula 1 April 2015.

Sejak daripada itu, semua rakyat Malaysia dan pelawat asing yang ingin keluar masuk melalui pos imigresen Wang Kelian-Wang Prachan, di Satun, Thailand
perlu mempunyai dokumen perjalanan sah.- UTUSAN ONLINE