HAZMAN HASSAN

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan berkata, lara­ngan menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik bukan baharu tetapi sudah terkandung dalam amanat yang dizahirkan Tuanku Syed Sirajuddin pada tahun lalu.

Justeru, tegas Hazman, pi­haknya memandang serius dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli jawatankuasa kariah di semua 105 masjid di ne­geri ini yang memberi ruang kepada calon pilihan raya atau wakilnya menggunakan institusi umat Islam itu sebagai tempat berpolitik.

“Sebagai ‘mata dan telinga’ khususnya ahli jawatankuasa kariah dan pegawai masjid ini, mereka per­lu menjadi barisan hadapan mencegah perkara ini.

“Dalam masa sama, kita juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya agensi tersebut memaklumkan kepada calon bertanding bahawa berkempen politik di masjid adalah dilarang sama sekali di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Pada 9 April lalu, JAIPs mengeluarkan arahan agar mana-mana calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau wakil parti politik tidak dibenarkan menjadi imam untuk solat fardu, jena­zah serta sunat di dalam dan di luar kawasan masjid di negeri ini.

Dalam masa sama, segala kempen politik termasuk memasang bendera dan simbol, turut dilarang sama sekali di kawasan masjid.

Sementara itu, Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, beliau memberi peringatan tindakan akan diambil terhadap jawatankuasa masjid yang membenarkan mana-mana penceramah bercakap soal politik di masjid.