Walau bagaimanapun, Jabatan Penerangan Negeri Perlis membuat kelainan bagi me­raikan pengamal media.

Kebun Harumanis milik Ariffin Hashim, 66, atau lebih dikenali sebagai Pak Pin di Kampung Bonggor Kudung, Simpang Empat di sini dipilih sebagai lokasi Program Sepetang Bersama Media melibatkan kira-kira 30 anggota media dari akhbar harian dan media elektronik.

Pengarah Penerangan Perlis, Ku Ismail Ku Yahya berkata, kelainan itu adalah untuk memberikan suasana lebih santai kepada pengamal media.

“Kebetulan Perlis sedang dilanda musim Harumanis, mempelam ikon Perlis ini memang menjadi kebanggaan setiap penduduk di ne­geri ini,” katanya dalam majlis berkenaan baru-baru ini.

Yang turut ha­dir ialah Ahli Majlis Mesyua­rat Kerajaan Ne­geri, Nurulhi­­s­ham Yaakob yang juga Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Simpang Empat.

Sempena de­ngan majlis ber­ke­naan juga di­­a­dakan penye­rahan pemba­ha­ruan kad media kepada wartawan dan juru foto akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Bagi meme­riahkan majlis itu, pulut mempelam menjadi hidangan utama yang disediakan untuk tetamu.

“Pulut mempelam merupakan menu istimewa yang disediakan oleh orang Perlis sempena dengan musim Harumanis,” katanya.

Selain itu, bagi meme­riahkan suasana, setiap tetamu juga dihidangkan dengan kudap-kudap iaitu garam belacan yang dimakan dengan mempelam dan buah amra atau kedondong.

“Jus amra yang juga ditanam di kebun ini menjadi air minuman yang disajikan untuk tetamu,” ujarnya.

Untuk memeriahkan majlis tersebut juga diadakan pertan­dingan mengenalpasti ciri-ciri mempelam Harumanis.

Acara sedemikian sekali gus menggalakkan para media untuk memahami de­ngan lebih jelas ciri-ciri mempelam itu yang penting untuk ba­han penulisan dan jika ada pihak yang membuat adu­an.

Suasana menjadi riuh kerana peserta perlu ce­kap untuk menilai Harumanis sebenarnya yang di­letakkan bersama mempelam jenis lain seperti susu, chokanan dan sebagainya.

Sementara itu, Pak Pin yang me­rupakan pesara Inspektor Kesihatan tidak menyangka kebunnya akan men­jadi lokasi untuk meraikan kumpulan media.

“Saya meng­usahakan kebun ini sejak 11 tahun lalu dengan 40 pokok mempelam Harumanis,” jelasnya.

Beliau berkata, selain menjual Harumanis dia juga menyediakan pulut mempelam atas permintaan pengunjung yang datang ke kebunnya sejak beberapa tahun lalu.