Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, perkara itu juga bagi mengelak individu berkenaan merasakan kemungkinan telah mengambil apa yang bukan haknya.

Sebaliknya kata beliau, jika tetap berhasrat untuk menyimpan wang atau barangan berharga itu, individu berkenaan mestilah melakukan beberapa perkara.

“Yang pertama, hendaklah mengenal pasti wang atau barang berharga yang dijumpai sehingga dia ingat dan tahu ciri-cirinya untuk memudahkannya apabila ada yang mendakwa haknya nanti.

“Kedua, individu itu hendaklah mengisytiharkannya kepada awam. Hal ini lebih mudah dilakukan dengan penggunaan teknologi maklumat ketika ini,” katanya dalam kiriman Whatapps di sini, hari ini.

Dalam laporan akhbar hari ini, seorang peniaga bundle mendapat rezeki terpijak apabila menemukan dompet berisi wang tunai 550,000 Yen (RM20,790) di dalam sehelai kot daripada dua guni pakaian dibelinya di Bachok, Kelantan.

Mohd. Asri seterusnya menjelaskan, setelah setahun mengiklankan secara bersungguh-sungguh namun tiada mana-mana pihak yang datang menuntut, maka bolehlah individu itu menggunakan wang atau barangan berharga tersebut.

“Begitu pun, jika suatu masa (selepas setahun), ada yang datang menuntut dan terbukti benar (tuntutannya), maka hendaklah individu itu membayar gantian harga yang telah digunakan,” katanya.

Menurut Mohd. Asri, jika kesemua perkara itu gagal dilakukan, dibimbangi individu berkenaan telah tidak amanah dan mengambil hak orang lain secara haram, justeru lebih baik diserahkan kepada pihak berkuasa. - UTUSAN ONLINE