Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalul­lail selaku Canselor Unimap, mengetuai kunjungan itu yang antaranya bertujuan mengetahui sejarah masyarakat tersebut dan budaya hidup kumpulan berkenaan.

Yang turut serta dalam de­legasi itu Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimap, Prof. Madya Dr. Mohd. Foad Sakdan; Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Madya Razli Ahmad serta Timbalan Dekan (Pembangunan Alumni) Unimap, Dr. Ummi Naiemah Saraih.

Rombongan Unimap disambut mesra oleh sekumpulan masyarakat berkenaan yang diketuai Presiden Persatuan Melayu Sri Lanka, M. Hussain Jayah yang merupakan antara 50,000 penduduk Melayu di negara ini.

Semasa lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menyaksikan permainan sepak raga bulatan yang disertai komuniti tersebut, selain melihat kesu­buran kesenian tradisi, terma­suk tarian joget yang dijayakan penduduk tempatan.

Baginda kemudian meninjau perkampungan Melayu di Slave Island itu dan bertemu para penduduknya yang menguta­makan silaturahim.

M. Hussain sewaktu memberikan taklimat berhubung kehidupan masyarakat Melayu Sri Lanka di Dewan Komuniti Slave Island, Colombo itu menyatakan, sebahagian daripada mereka masih boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.

Katanya, komuniti Melayu wujud di Sri Lanka sejak lebih 250 tahun lalu melalui penghij­rahan penduduk Indonesia dan Tanah Melayu di mana jumlah­nya semakin membesar, namun penguasaan bahasa Melayu kian luntur.

Beliau menyatakan, masya­rakat Melayu di situ tidak me­rasa terasing di Sri Lanka ke­rana kerajaan negara tersebut sentiasa mengambil berat terhadap kehidupan mereka secara berterusan.

“Kami hidup aman di sini (Sri Lanka). Lagipun kami lahir dan membesar di sini. Ada juga yang dalam kalangan kami yang berjawatan tinggi,” katanya yang mengetuai persatuan itu sejak 2015.

Menyentuh hubungan Me­layu Sri Lanka denan rakyat Malaysia keturunan Melayu pula, beliau berkata, ia sentiasa terjalin erat dan terus subur.

“Kami selalu menerima kun­jungan yang bersifat memperkukuhkan silaturahim daripada masyarakat Malaysia sama ada secara berkumpulan atau individu,” jelasnya.

Katanya, Persatuan Melayu Sri Lanka ditubuhkan sejak 1922 dengan Presiden pertamanya, M.K Saldin yang menerajui persatuan itu sehingga awal tahun 1942.