Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalul­lail bertitah, segala nilai murni diterap secara berjadual buat rakyat selepas perbincangan dan penelitian menyeluruh oleh jawatankuasa berkenaan.

Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs menyatakan, selain itu, Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis pula akan meng­angkat ketinggian adat dalam kalangan rakyat.

Jelas baginda, ketinggian adat itu selari dengan kehendak agama yang sentiasa meng­utamakan ketertiban dan kemurnian akhlak.

Titah baginda, bagi menggalas amanah ini secara bersama, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dan sekolah di ne­geri ini diminta menyumbang idea ke arah yang sama.

“Ini penting kerana pembentukan rakyat yang unggul wajar bermula bukan sahaja di peringkat sekolah, malah di peringkat prasekolah lagi dengan sasaran menjayakannya dalam tempoh lima tahun,” tambah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menyatakan perkara itu selepas mengetuai delegasi sempena Jelajah Ilmu Unimap Siri Ke-14, melawat Masjid Ayasofya Camii Westermoskee, di Amsterdam, Belanda baru-baru ini.

Berangkat sama anakanda baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail. Yang turut hadir Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Mohd. Fo’ad Sakdan.

Ketika lawatan ke masjid terbesar di Belanda itu, baginda menyampaikan sumbangan zakat MAIPs kepada imam masjid tersebut Abdul Rahman Yasli dan disaksikan oleh pengerusi jawatankuasa masjid Gazi Cirik.

Masjid dengan reka bentuk Uthmaniyah seluas 800 meter persegi itu boleh memuatkan 800 jemaah pada satu-satu masa dan ruang dalamannya bakal diperbesarkan.

Masjid tersebut mula beroperasi pada 2016 dan memerlukan kira-kira 1 juta euro daripada penyumbang untuk menampung fasa dua pembangunan dengan mewujudkan ruang tingkat atas masjid.