Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penjagaan kualiti harumanis sebagai buah ikon Perlis perlu diberikan perhatian sepenuhnya.

“Beta menyeru penanam harumanis supaya terus berusaha menjaga kualiti buah agar sentiasa berada pada tahap terbaik bagi menjamin harga yang tinggi dan mendapat kepercayaan pengguna,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Pertanian Ne­geri Perlis di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Beseri, di sini baru-baru ini.

Berkenan hadir Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir Pengarah Pertanian negeri, Zulkefli Amin Mat Jusoh.

Baginda bertitah, peningkatan kualiti harumanis amat penting pada masa kini kerana pengguna sekarang mengutamakan pemilihan makanan selain selamat untuk dimakan.

“Justeru, tidak hairanlah jika pengguna sanggup melaburkan wang yang banyak bagi mendapatkan produk makanan berkua­liti,” titah baginda.

Titah baginda, bagi menarik orang luar datang ke Perlis sepanjang masa dan bukan ketika musim harumanis sahaja, maka produk hiliran perlu dibuat inovasi sebagai alternatif.

Titah baginda, sebagai contoh, langkah koperasi kakitangan Jabatan Pertanian negeri memperkenalkan ais krim harumanis merupakan salah satu usaha yang baik.

“Beta difahamkan, ais krim ini diperbuat daripada puri asli harumanis yang dipotong segar dan terdapat juga produk lain seperti jus, kordial, sos, biskut, dadih dan pelbagai lagi produk yang boleh didapati sepanjang masa di gerai jualan koperasi di Kompleks Pertanian Bukit Temiang ini,” titah baginda.