Baginda bertitah, walau ba­gaimanapun negara Islam tidak sewajarnya berasa putus asa kerana Allah sudah berjanji dalam al-Quran bahawa Dia tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka berusaha mengubahnya.

“Insiden keganasan yang berlaku ketika ini telah membawa kepada peningkatan Islamophobia di dunia, bahkan di negara yang umat Islam adalah golongan minoriti,” titah ba­ginda ketika merasmikan Persida­ngan Dakwah Wilayah anjuran Yayasan Pusat Dakwah (HCF) dengan kerjasama MAIPs yang bermula hari ini hingga 5 November ini, di sini kelmarin.

Keberangkatan baginda di­sambut Pengerusi HCF, Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyampaikan ucaptama pada majlis itu.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, pendakwah diminta supaya me­ngenepikan sebarang perbezaan dan bertindak secara bersama dalam membentuk perpaduan.

“Pendakwah juga perlu memastikan mereka menggunakan pendekatan baharu dalam berdakwah bersesuaian dengan situasi semasa selain memperkukuhkan media sendiri untuk menyebarkan maklumat yang benar tentang Islam,” titah baginda.

Menyentuh mengenai persidangan yang julung-julung kalinya diadakan di negeri ini me­libatkan penyertaan seramai 228 peserta termasuk 165 dari luar negara, baginda bertitah, ia jelas menunjukkan komitmen kepada kesatuan, keinginan kolektif yang menepati iman dan tekad untuk memperkuatkan umat.

“Persidangan ini memberi peluang baik untuk kita berkongsi pengalaman, bertukar idea dan memperkukuhkan tali persaudaraan Islam antara semua kaum. Peserta juga boleh menyumbang, berkongsi idea serta pemikiran mereka bagi merancang dan merangka pendekatan untuk kepentingan umat,” titah baginda.