Manakan tidak, mereka yang pernah berkhidmat di Asia Tenggara ketika zaman darurat dahulu, kembali semula ke negara-negara berkenaan.

Negara-negara itu ialah Thailand dan Malaysia yang suatu masa dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu.

Kesemuanya daripada ke­lab­­ Hash House Harrier itu, menggelarkan diri mereka sebagai Rumblers yang membawa maksud, bergemuruh.

Tujuannya adalah untuk me­nyambut ulang tahun ke-80 kelab itu dan mengimbau kenangan dalam kalangan mereka.

Ia juga bagi merapatkan hu­bungan antara satu sama lain serta berhibur dan melancong.

Apatah lagi ada antara mereka ini yang terpisah sejak sekian lama selepas tamat perkhidmatan, kerana pelbagai faktor.

Mereka ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan warga negara iaitu Asia, Afrika, Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan dan Australia.

Meskipun pernah beberapa kali menganjurkan program serupa, tetapi ini merupakan yang paling unik kerana menggunakan kereta api diesel.

Lebih manis, perkhidmatan itu disediakan oleh Keretapi Ta­nah Melayu Bhd. (KTMB) secara tempahan khas.

Pelbagai keperluan disediakan KTMB, termasuk dari segi penyediaan makanan dan minuman di dalam tren serta hiburan seperti karaoke.

Sudah tentu, pengalaman itu memberi seribu makna buat kumpulan tersebut yang menem­puh perjalanan bermula dari Hatyai, Thailand dan memasuki sempadan di Padang Besar, Perlis.

Mereka seterusnya berhenti untuk bermalam di Ipoh, Perak dan berakhir di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur pada keesokan harinya.