Malah, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam majlis sama turut membuat gesaan tersebut selain menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan seolah-olah tidak bermakna tanpa kibaran Jalur Gemilang kerana ia adalah ‘roh’ yang menghidupkan suasana sambutan dan lambang kecintaan rakyat kepada negara.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai pihak khususnya Jabatan Penerangan terus mempergiatkan kempen termasuk menjelajah di seluruh negara bagi memberi ke­­­sedaran kepada orang ramai supaya mengibarkan Jalur Gemilang.

Bagaimanapun gesaan dan kempen tersebut dilihat masih tidak berupaya menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat termasuk di negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar tiga daerah di negeri ini iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar mendapati banyak premis perniagaan, rumah, pejabat dan di mana-mana tempat bersesuaian masih tidak mengibarkan Jalur Gemilang.

Jika sebelum ini, keadaan di jalan raya meriah dengan kende­raan mengibarkan Jalur Gemilang, namun kali ini suasana tersebut tidak berlaku.

Boleh dikatakan dalam 100 kenderaan yang lalu lalang di jalan raya, hanya satu atau dua buah ken­deraan sahaja kelihatan Jalur Gemilang megah berkibar.

Malah di kawasan perumahan atau kampung juga dilihat tidak serancak seperti dahulu dalam mencari idea kreatif memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan ini.

Diperhatikan setakat ini, ha­nya di premis atau pejabat kerajaan selain di sekolah sahaja memberi sokongan kepada kempen kibar Jalur Gemilang.

Seharusnya, penduduk khususnya di negeri ini perlu menzahirkan penghayatan sambutan setahun sekali itu dengan turut sama meriahkan Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan ben­dera negara itu.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Azizi Razali, 33, berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini, kesedaran masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang dilihat semakin kurang.

“Jika dahulu, boleh dikatakan setiap rumah memasang Jalur Gemilang, namun sejak akhir-akhir ini suasana seperti itu sudah jarang berlaku.

“Meskipun kebanyakan agensi kerajaan atau pihak tertentu se­perti wakil rakyat menyediakan bendera secara percuma kepada orang ramai, namun rata-rata mereka tidak mengambil serius untuk mengibarkannya.

“Bulan kemerdekaan ini di­sambut setahun sekali, apa salah­nya kalau kita menunjukkan rasa cinta terhadap negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Azizi memaklumkan yang dia tidak pernah ketinggalan me­ngibarkan Jalur Gemilang di rumah dan di keretanya setiap kali sambutan Bulan Kebangsaan.

Seorang juruteknik, Tarmizi Arus, 32, pula berkata, kerajaan melakukan yang terbaik dalam usaha memupuk kesedaran orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

“Namun malangnya masih ramai antara kita tidak mengambil serius perkara ini. Jika semua orang mengambil tanggungjawab ini, pastinya setiap tahun suasana kemerdekaan ini meriah,” kata­nya.