Dalam kejadian semalam itu, seekor ular dikatakan telah tersesat masuk ke dalam bilik tidur keluarga remaja tersebut di Kampung Chemumar Tengah di sini.

Pemilik rumah itu, Mohd. Suhaimi Ahmad, 49, berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya telah keluar ke sebuah pasar raya berdekatan manakala anak lelakinya tinggal di rumah.

Menurutnya, anak lelakinya itu sedang berada dalam bilik tidur sebelum menyedari ada kelibat seekor ular tersesat sehingga menjalar di bawah katilnya.

“Dia menyalakan api pada beberapa helaian akhbar dan cuba menghalau ular berkenaan yang dipercayai berada di bawah katil.

“Ketika sedang menghalau, api yang dipegangnya terkena pada tilam dan membakar katil sebelum marak menjulang ke seluruhan kawasan dalaman rumah,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumahnya.

Ahmad Suhaimi berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas dimaklumkan penduduk setempat sebelum bergegas pulang dari pasar raya berkenaan.

“Setibanya di rumah, segalanya sudah musnah dan kami tinggal dalam keadaan sehelai sepinggang malah pakaian pun hanya tinggal apa yang ada sahaja.

“Selain rumah, turut musnah sebuah kereta jenis Honda Civic keluaran 1990, dua buah motosikal dan semua barangan dalam rumah. Kami kini bermalam di dalam sebuah rumah yang belum siap sepenuhnya milik saya terletak berdekatan buat sementara waktu,” katanya yang bekerja sebagai buruh.

Menurutnya, anggaran kerugian yang dialaminya berjumlah RM100,000 kerana keseluruhan rumahnya musnah 100 peratus di samping sebuah kereta dan dua buah motosikal.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kangar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.20 minit malam.

“Jumlah anggota yang terbabit dalam operasi kebakaran malam tadi adalah seramai 12 orang dengan empat buah jentera bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Kebakaran berjaya dikawal selepas dua jam iaitu pada pukul 12.20 minit tengah malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE