Baginda bertitah Malaysia memerlukan generasi yang sihat, dinamik, positif, produktif serta memiliki nilai hidup dan moral yang tinggi.

“Dalam hubungan ini, ibu bapa mesti mengambil berat perkembangan dan strategi pendidikan yang ditekankan untuk mencorak perkembangan dan tingkah laku anak mereka,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian dalam majlis penyerahan biasiswa pendidikan Seorang Anak Sebesar Harapan peringkat negeri anjuran Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd., untuk Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di Sekolah Pendidikan Khas Perlis di sini, hari ini.

Turut hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Penasihat Kehormat Smart Tadris (Smart Reader Kids Islamic) Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz.

Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan ibu bapa agar tidak mengabaikan perkembang­an fizikal, sosial dan rohaniah selain menunjukkan teladan yang baik agar dapat mempengaruhi perwatakan anak mereka.

Seramai 171 kanak-kanak mendapat faedah program itu yang bernilai hampir RM900,000 sejak dilancarkan pada 2007.

Baginda juga berkenan menyam­paikan Anugerah Penghargaan YTSP Perlis 2016, kepada Hakim Khan Mohamad Khan dan Muhammad Razali yang masing-masing menerima sijil dan wang RM1,000 kerana sumbangan mereka terhadap yayasan. – BERNAMA