Bagaimanapun gadis berusia 24 tahun itu tidak sempat menghadiri konvokesyen tersebut selepas dia bersama keluarga yang datang dari Negeri Sembilan terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 15 Jalan Alor Setar-Kangar di sini.

Lebih menyedihkan, kejadian kira-kira pukul 3.45 itu turut mengorbankan bapanya yang berusia 75 tahun.

Bagaimanapun, kedukaan graduan dalam jurusan Kejuruteraan Pembuatan itu sedikit terubat apabila dia menerima kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

Lebih istimewa, Tuanku Lailatul Shahreen merangkap Tuanku Pro-Canselor Unimap turut menyerahkan sendiri skrol ijazah tersebut kepada Sie Kin sambil diperhatikan oleh Tuanku Syed Faizuddin selaku Canselor universiti berkenaan.

Baginda berdua meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi Sie Kin selain turut memberikan kata-kata semangat dan mengucapkan tahniah kepada wanita itu yang kelihatan semakin ceria.

Yang turut hadir melawat Sie Kin ialah Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Unimap, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Sementara itu, Zul Azhar berkata, pihaknya akan membantu Sie Kin dan keluarganya sepanjang menerima rawatan di hospital.

Katanya, bekas pelajarnya itu dijangka menjalani pembedahan selepas ini sebelum dibenarkan keluar hospital.

“Kita merasa dukacita dengan kemalangan yang berlaku itu. Ketika kejadian itu, Sie Kin dan keluarganya sudah hampir sampai di Kangar dan pada sebelah petang pula dijadual menghadiri majlis konvokesyen tersebut.

“Hari ini, kita bersama Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda datang untuk meraikan Sie Kin di hospital. Kita berharap Sie Kin akan cepat sembuh,” katanya. - UTUSAN ONLINE