Penerima Anugerah Diraja Yayasan Tuanku Syed Putra 2018 sempena Majlis Konvokesyen PTSS Ke-12, Tan Zhi Yao, 23, berkata, dia bekerja sebagai eksekutif jualan di Hotel Le Meridien Phuket Beach Resort, Thailand, sebaik sahaja menamatkan pengajiannya dalam bidang Diploma Akauntan tahun lalu.

Katanya yang berperwatakan ceria, berkat kesungguhannya bekerja di negara jiran itu, dia kemudian dinaikkan pangkat sebagai Penyelaras Jualan Antarabangsa, baru-baru ini.

“Saya banyak mengguna pakai pengetahuan dalam bidang akauntan semasa bekerja di Thailand di samping menjalankan tugas hakiki sebagai pencari pelanggan hotel untuk musim-musim tertentu khususnya dari China,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam majlis konvokesyen itu, di sini kelmarin.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menganugerahkan pingat dan wang tunai berjumlah RM2,000 kepada Zhi Yao dan penerima lain majlis konvokesyen tersebut.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, kedua-dua ibu bapanya, Saruda Ekachaiwitwatkul, 54, dan Tan Kim Seng, 56.

Dalam pada itu, Zhi Yao yang berasal dari Padang Besar dekat sini berkata, dia merancang untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana muda dalam bidang sama ataupun perguruan.

Katanya, universiti pilihan pula adalah sama ada di Universiti Utara Malaysia (UUM) atau Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).