Muhamad Iskandar Izhar, 21, berasal dari Jitra, Kedah, yang menerima Diploma Sains Komputer dalam Istiadat Konvokesyen UiTM cawangan negeri itu Ke-87, hadir bersama ibu, Yusniza Abu Bakar, 47, dan bapanya, Izhar Saidin, 46.

Menurut Muhamad Iskandar, dia mengalami kanser tulang sehingga mengakibatkan kakinya itu bengkak dan tidak boleh berjalan lalu terpaksa dipotong ketika berusia 10 tahun.

"Walaupun serba kekurangan dan terpaksa bertongkat untuk berjalan tetapi saya kuatkan semangat untuk berjaya seperti rakan-rakan yang lain.

"Antara cabaran yang saya hadapi semasa melanjutkan pengajian ialah apabila terpaksa berjalan menggunakan tongkat selama empat semester sejauh antara satu hingga tiga kilometer sehari.

"Syukurlah kerana semasa semester kelima, ada rakan yang menumpangkan saya menaiki motosikal setiap hari sehinggalah tamat pengajian," katanya ketika ditemui.

Seramai 247 orang graduan diploma dan 29 orang penerima sarjana muda dianugerahkan sijil masing-masing pada hari terakhir dalam istiadat bermula Jumaat lalu.

Dalam pada itu, seorang graduan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perkomputeran Netsentrik, Nur Fatin Najwa Mohd. Arif, 23, turut menarik perhatian apabila hadir ke majlis tersebut walaupun terpaksa berkerusi roda disebabkan kaki kirinya patah kerana terbabit dalam nahas jalan raya, bulan lalu.

Dia yang berasal dari Johor Bahru, Johor, dan ditemani ibu, Nor'ain M. Yusof @ Ali, 52, dan adiknya, Mohd. Adham Mohd. Arif, 17, terlibat kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu ketika kereta dipandunya seorang diri berselisihan dengan sebuah treler.

"Disebabkan itu, saya terpaksa berkerusi roda tetapi kerana semangat untuk menerima sijil dalam majlis istimewa ini dan berjumpa rakan-rakan, saya hadir juga," katanya lagi. - UTUSAN ONLINE

kapsyen - Muhamad Iskandar Izhar, 21, dicium ibunya, Yusniza Abu Bakar sambil diperhatikan bapanya, Izhar Saidin semasa Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis Ke-87 di Arau, Perlis hari ini.

2. Nur Fatin Najwa Mohd. Arif bergambar bersama ibu, Nor'ain M. Yusof @ Ali dan adiknya, Mohd. Adham semasa Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis Ke-87 di Arau, Perlis hari ini. - UTUSAN ONLINE/