Kejohanan yang julung kali diadakan tahun ini disertai 25 peserta terdiri daripada 12 pelumba pengamal media negeri ini dan 13 pemandu daripada pasukan TNB Perlis.

Kejohanan yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir kira-kira pukul 2 petang itu turut disertai Pengurus Rakan Kongsi Perniagaan TNB Perlis, Tarmizi Abdul Hamid yang berkesempatan menyaksikan kehebatan peserta.

Tarmizi berkata, objektif kejohanan berkenaan adalah bagi mengeratkan hubungan antara pengamal media Perlis dan TNB negeri.

Beliau berkata, kejohanan itu juga sebagai menghargai peranan pihak media negeri ini yang sentiasa memberi kerjasama terhadap setiap program TNB.

Katanya, program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang.

“Kita ingin mengucapkan ri­buan terima kasih atas penghormatan dan kerjasama yang diberikan pihak media dalam membuat liputan di setiap program syarikat.

“Jadi kejohanan ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi kerjasama antara KEMPs dan TNB pada masa depan,” katanya di sini.

Sementara itu, seorang peserta, Dziyaul Afnan Abdul Rahman berkata, program itu mampu mengeratkan hubungan antara pihak media dan TNB di ne­geri ini.

Dalam masa sama, Dziyaul Afnan berkata, kejohanan tersebut ju­ga membuka peluang kepadanya untuk mencuba sesuatu yang baharu melalui perlumbaan go-kart itu.

Seorang lagi peserta, Muhamad Mustakim Ramli berkata, ia merupakan pengalaman kali pertama dia memandu go-kart dan ternyata menyeronokkan.

“Meskipun pada peringkat awal ia agak sukar, namun saya dapat menyesuaikan diri selepas itu. Deruman enjin go-kart dan kelajuannya membuat kami me­rasai kepuasan tahap maksimum,” katanya.