Pusat senaman dan latihan sukan yang terletak di pekan Pauh itu mula beroperasi sejak tahun lalu dan dibuka kepada orang awam termasuk kanak-kanak pada setiap hari.

Lebih menarik, pusat ber­kenaan juga menyediakan kelas Muay Thai iaitu pada Jumaat sehingga Ahad bermula pukul 5 petang sehingga pukul 10 malam.

Pengasas pusat sukan tersebut, Datuk Kelvin Teoh Hwa Cheng, 50, berkata, selain ingin mendidik masyarakat mengamalkan budaya hidup sihat, pusat sukan berkenaan juga membuka ruang khususnya kepada anak-anak kampung di kawasan itu untuk mengisi masa lapang dengan bersenam dan mengikuti latihan Muay Thai di situ tanpa sebarang bayaran.

Katanya, kelas Muay Thai yang diperkenalkan sejak bulan lalu itu turut mendapat sam­butan daripada orang ramai yang ingin mencuba sukan tersebut.

Ujar Kelvin, beliau mengeluarkan peruntukan sendiri bagi membeli peralatan sukan gimnasium serta membayar seorang jurulatih profesional untuk sukan Muay Thai itu.

“Sebelum ini, ramai kawan-kawan saya jatuh sakit di usia muda dan situasi itu antara penyebab saya membuka pusat latihan ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambahnya, konsep yang diketengahkan di pusat latihan berkenaan ialah secara terbuka dan semua bangsa bebas untuk mengikuti latihan di situ.

“Sebelum ini, ramai orang khususnya kanak-kanak dan remaja belasan tahun di sini mengeluh kerana terpaksa mengeluarkan belanja untuk mengikuti latihan fizikal di mana-mana pusat gimnasium.

“Pada masa sama, saya tidak mahu masyarakat di sini tidak bersenam hanya kerana mereka terpaksa mengeluarkan wang ketika ingin menjalani latihan di mana-mana tempat.

“Dengan adanya pusat latihan percuma ini, saya harap semua orang mengambil peluang menjalani kehidupan secara sihat,” kata anak jati Pauh itu.