Sebaiknya jika disimpan de-ngan baik sudah pasti pada suatu hari nanti ia akan kembali menjadi berharga apabila mula melepasi zamannya.

Lantaran inisiatif Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis untuk mengumpul kembali koleksi barangan seni dan budaya termasuk yang berkaitan tokoh budaya, replika pertanian, busana, aksesori, permainan tradisional Melayu khususnya dari Perlis wajar dipuji.

Sehubungan itu kata Pengarahnya, Rahmat Md. Noh, JKKN Perlis masih memerlukan bahan sejarah ini untuk dipamerkan di Galeri Seni Budaya yang terletak di jabatan berkenaan.

“Sesiapa sahaja dipelawa untuk mempamerkan bahan-bahan sejarah di sini,” katanya.

Rahmat berkata, nama penyum­bang akan diletakkan pada setiap barang yang dipa­merkan sebagai menghargai sum­bangan orang ramai yang bersama-sama memberikan kerjasama yang baik kepada Galeri Seni JKKN.

Beliau menambah, lagi ba­nyak lagi baik kerana sekurang-kurangnya lebih banyak lagi peluang untuk mendedahkan generasi muda dengan barang peninggalan orang terdahulu.

Katanya, ini sejajar dengan matlamat penubuhan galeri ini oleh JKKN Perlis demi memberikan ilmu pengetahuan untuk generasi muda.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli merasmikan galeri berkenaan dan turut menandatangani plak perasmian.

Di galeri ini telah dibahagi-bahagikan beberapa sudut termasuk untuk tokoh budaya, busana dan aksesori, permainan dan muzik tradsional.

Juga disediakan sudut untuk Awang Batil, budaya adat berendoi, jenis-jenis senjata dan juga barang kenangan mengusik jiwa seperti radio lama, replika pertanian dan perkakasan rumah.

Turut dipamerkan kebaya Perlis di mana potongan yang seme­mangnya unik ini beridentiti ­negeri ini tetapi sayangnya ia sudah di­pinggirkan oleh generasi muda.

Kebaya Perlis ini telah dipin­jamkan oleh pemiliknya yang mewarisi daripada ibunya sebagai pakaian pengantin pada ketika itu supaya dapat dilihat semula dan kembali menjadi pilihan untuk digayakan semula oleh kaum wanita di negeri ini.

Bagi yang masih belum me­ngenali Awang Batil, boleh membaca fakta lengkap penglipur lara rakyat Perlis di zaman dahulu ini yang menggunakan ‘batil’ yang merupakan perkakasan dapur untuk ditepuk sambil bercerita.

Begitu juga amalan berendoi yang menjadi adat orang Perlis dalam kenduri untuk bercukur anak selepas tujuh hari dilahirkan yang diterangkan dengan lengkap berserta dengan model.

Selain itu pengunjung boleh melihat peralatan dapur yang digunakan oleh masyarakat Perlis seperti batu giling yang digunakan untuk membuat pes rempah atau cili.

Juga dipamerkan seterika besi iaitu arang akan dibakar dahulu bagi dijadikan bara sebelum digunakan untuk mengosok pakaian.

Tidak kurang menariknya barang yang dipamerkan termasuk kipas angin yang diperbuat daripada besi.

Apapun Galeri Seni Budaya yang ‘comel’ ini memang sarat dengan ilmu untuk dilihat dan dikaji oleh generasi muda hari ini yang berkaitan dengan barangan lama yang ditinggalkan oleh datuk nenek kita.