Jadi tidak hairanlah jika saban malam ketika dipersembahkan keempat-empat teater ini, kerusi auditorium bukan sahaja tidak pernah kosong malah melimpah ruah memenuhi ruang yang ada sehingga ke tangga.

Seperti kata Pengarah JKKN negeri, Rahmat Md. Noh, pe­nganjuran festival kali ini sememangnya mendapat sambutan yangdi luar jangkaan.

“Kami berharap agar pada tahun akan datang banyak lagi persatuan ataupun kumpulan teater yang akan menyertai festival ini agar dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam seni teater khasnya di negeri ini,” katanya.

Sebanyak empat kum­pulan yang mengambil bahagian iaitu Persatuan Sukan Kebudayaan Pelajaran Perlis (PSKPP) yang mempersembahkan ‘Lokan Ber­tepuk’ karya Seni Bayan.

Selain itu, Persatuan Lantunan Suara (Lantra) - ‘Nasi Lemak’ karya Aiman Abdullah; Persa­tuan Teater Opera Mimpi (Topeng) - ‘Mat Deris Kola Perlis’ karya Namron dan Persatuan Penggiat Seni Kreatif (Perspektif) - ‘Kanvas’ karya Saiful Azwan Abd. Aziz.

Pertarungan yang sengit itu akhirnya memberikan kejayaan kepada Topeng yang mempertaruhkan naskhah ‘Mat Derih Kola Perlih’.

Kisah lelaki bernama Mat De­rih yang hidup bersama ibunya di sebuah perkampungan nelayan dan ingin mencari bapanya, berjaya menambat hati juri apabila dinobatkan sebagai juara.

Kumpulan ini membawa pu­­lang hadiah wang tunai RM2,000, piala dan sijil.

Naib johan disandang oleh kumpulan Perspektif manakala PSKPP pula menduduki tempat ketiga, dengan masing-ma­sing menerima RM1,500 dan RM1,000 serta piala dan sijil.

Topeng turut meraih ha­diah sinografi terbaik manakala Syafiq Syazim dinobatkan sebagai Pe­ngarah Terbaik.

Pelakon lelaki dan wanita terbaik masing-masing dimenangi oleh Saiful Azwan Abdul Aziz (Perspektif) dan Nessa Idrus (Topeng).

Manakala pelakon pembantu lelaki terbaik disandang Hairi Safwan Azanan (Topeng) serta pelakon wanita dimenangi Nur Azean Jasmeen Iqbal Khan (Lantra).

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Jamil Saad.

Topeng juga akan mewakili Perlis untuk bersaing dengan 13 pasukan dari negeri lain pada peringkat kebangsaan tahun de­pan bagi memilih enam kumpulan terbaik pada FTM 2018.