Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, semangat dan nilai-nilai murni yang sejagat di dalam festival Songkran seperti berbudi bahasa, bersopan santun dan penghargaan kepada orang tua dilihat mengujakan.

Justeru katanya, tidak hairanlah festival Songkran ini sememangnya dinantikan oleh masyarakat Siam termasuk daripada kaum lain dan para pelancong.

“Saya berharap perayaan seumpama ini boleh menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Saya difahamkan bahawa terdapat ramai pelawat daripada pelbagai negeri yang turut serta dalam festival ini.

“Tidak dapat dinafikan Songkran boleh menambahkan lagi warna kepada kebudayaan dan kesenian di negara ini. Ia juga mempamerkan keunikan seni budaya Malaysia agar terkenal dalam kalangan masyarakat antarabangsa sekali gus menjadikan jenama ‘Malaysia Truly Asia’ semakin menyerlah di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Songkran 2018 di Dewan Ching Aun Kong, Jejawai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Yayasan Orang Siam Malaysia, Datuk Siw Chun Eam.

Tambah Mohamed Nazri, beliau percaya festival Songkran boleh menjadi salah satu produk pelancongan yang menarik.

“Selain itu, kita juga berharap penganjuran festival ini akan dapat merancakkan lagi promosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020),” katanya.