Bagaimanapun kali ini, rak­yat Perlis bertuah apabila dapat merasai pengalaman tersebut di negeri sendiri melalui pe­nganjuran Festival Perlis yang berlangsung bermula 5 Oktober sehingga 4 November depan.

Festival itu julung-julung kali diadakan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini dan bermula dari pukul 5 petang sehingga pukul 12 tengah malam, setiap hari.

Sehingga kini, sambutan yang diterima luar biasa dan menggalakkan.

Jika sebelum ini, ada dalam kalangan penduduk yang hanya boleh melihat dari jauh permainan seperti Samba Balloon; Vortek; Super Jet; Euro Wheel dan Battery Car, kali ini, mereka dapat merasai sendiri keseronokan itu di Festival Perlis.

Malah, pada malam pertama festival yang dianjurkan oleh Green City Amusement Fair Enterprise dengan kerjasama Top Event Solution itu berlangsung, telah mencatat kehadiran hebat iaitu melebihi 20,000 pengunjung.

Pengurus Festival Perlis, Zamzuri Anuar Zakaria berkata, selain pelbagai jenis permainan, festival tersebut turut disertai lebih 72 gerai jualan selain ba­nyak aktiviti menarik disediakan.

Katanya, para pengunjung dikenakan bayaran RM4 bagi golongan dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak malah sesiapa sahaja ingin mencuba pelbagai permainan di Euro Fun Park boleh membeli tiket yang bermula dengan harga serendah RM6 sehingga RM18.

“Penganjuran ini adalah yang pertama kali diadakan di negeri ini. Sebelum ini, jika ada, hanya fun fair kecil-kecilan. Para pe­ngunjung khususnya dari ne­geri ini diharap tidak melepaskan peluang mengunjungi Festival Perlis ini.

“Selain itu, penganjuran festival tersebut secara tidak langsung juga telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 300 orang dalam tempoh sebulan ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu beliau berkata, festival tersebut mungkin akan dijadikan sebagai acara tahunan dan menjadi antara salah satu aktiviti besar dalam kalendar pelancongan di negeri ini.