Piawaian dikenali sebagai FAMA Standard itu akan mula dipromosikan kepada pekebun di negeri ini bermula musim pengeluaran akan datang, sebagai garis panduan dan rujukan pelbagai pihak.

Malah piawaian itu diterima dan dipersetujui semua pihak terlibat dalam rantaian pemasaran melibatkan petani, pemborong, peruncit dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menerusi pengenalan FAMA Standard yang dilakukan secara terperinci itu, sudah pasti ia akan dapat memberi kepercayaan kepada pengguna, peruncit dan pemborong harumanis.

Apatah lagi wujud banyak rungutan pembeli harumanis dari dalam dan luar negeri ini pada musim lalu terhadap ketulenan buah itu, khususnya mereka yang membuat pembelian melalui pos.

Perkara itu sedikit sebanyak diakui telah menjejaskan nama baik harumanis dan kerajaan negeri.

Itu tidak termasuk peniaga yang sewenang-wenangnya menggunakan nama harumanis seperti ‘harumanis tipu’ dan ‘harumanis Thailand’ atau ‘mempelam Perlis’ semata-mata untuk melariskan jualan mereka.

Bagi memberi keyakinan kepada pengguna, pada masa sama, FAMA juga akan mengga­lakkan pengusaha, peruncit dan pemborong menggunakan pelekat harumanis (HM) Perlis pada buah, sebagai satu jenama.

Kesemua pencapaian terhadap kualiti harumanis itu dianggap penting dan bakal menjadi perkara asas bagi memastikan buah dikeluarkan nanti mencapai piawaian sebelum ia boleh menembusi pasaran luar negara yang sudah pasti kualitinya jauh lebih tinggi.

Melalui FAMA Standard, harumanis akan digredkan kepada gred premium, 1, 2 dan subgred berdasarkan kesegaran, kebersihan, saiz dan kematangan seragam buah tersebut.

Harga buah pula walau bagaimanapun masih bergantung kepada pasaran terbuka, sebagai contoh, apabila musim berbuah jatuh pada Ramadan yang turut mempengaruhi pembelian selain pengeluaran berkurangan akibat musim hujan.

Lokasi juga menjadi penentu harga buah yang disebabkan faktor kos pengangkutan dan penyim­panan.

Persoalannya kini terletak kepada keseriusan pekebun untuk mencapai tahap standard yang ditetapkan FAMA itu bagi memastikan harumanis terus kekal mempunyai peminatnya pada setiap musim.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas

Tani negeri, Ahmad Bakri Ali memberitahu, pihaknya yakin 75 peratus dari kawasan penanaman harumanis seluas 745 hektar di negeri ini mampu mencapai piawaian ditetapkan agensi terbabit.

“Ini kerana kesemua pengusaha tanaman terlibat merupakan pekebun yang serius dalam penghasilan mempelam ini dan sudah lama menanam harumanis.

“Walau bagaimanapun kita akan ‘turun dan bercakap’ kepada pekebun untuk mempromosikan FAMA Standard agar mempelam yang kita hasilkan nanti bermutu tinggi,” katanya di sini baru-baru ini.