Pengarah FAMA negeri, Shahrizan Sudiman berkata, pu­sat itu yang sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu, sememangnya diwujudkan agensi tersebut untuk membantu mengatasi lambakan buah-buahan tempatan pada masa tertentu.

Kata beliau, sehingga kini, pusat berkenaan berjaya me­ngatasi lambakan buah-buahan tempatan seperti durian untuk dijadikan bahan makanan lain untuk membuat kuih dan aiskrim.

“Sebelum ini kita menghasilkan pastri dan keju durian yang mendapat sambutan menggalakkan. Ada juga yang kita sejuk bekukan untuk dipasarkan kepada pihak kilang makanan,” katanya dalam sidang akhbar dalam Program Tautan Kasih Mesra Pelanggan FAMA sempena Hari Raya Aidilfitri di pejabat FAMA negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan isterinya, Datin Seri Noraswana Omar.

Shahrizan diminta mengulas lambakan mempelam harumanis yang musim kemuncaknya pada tahun ini jatuh Ramadan lalu sehingga menjejaskan harganya dalam pasaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan menganjurkan kempen makan buah-buahan tempatan buat kali kedua di peringkat sekolah di bandar ini dalam masa terdekat.

Katanya, langkah tersebut bagi menggalakkan minat lebih ramai golongan muda terhadap makanan itu.

“Kita lihat generasi muda kini kurang minat dan tidak tahu makan buah-buahan tempatan. Oleh itu kempen seperti ini harus dilakukan.

“Kali ini, kita akan gabungkan empat sekolah rendah dan menengah serentak. Di situ nanti, kita jalankan pelbagai aktiviti seperti kuiz dan makan buah-buahan,” katanya.