Itu yang dibuktikan oleh seramai 15 ahli kelab itu yang buat julung kalinya menganjurkan program berbasikal sejauh 300 kilometer (km) ke Thailand selama tiga hari bermula 31 Mac lalu.

Kesemua mereka memulakan kayuhan dari Pos Kawalan Imigresen Wang Kelian di sini sehingga ke Krabi.

Lebih manis, program itu mendapat sokongan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan melancarkan program tersebut di Kampung Baru Panggas sehari sebelum itu.

Timbalan Pengerusi KEMM, Mohd. Zaki Amiruddin berkata, program yang pertama kali diadakan kelab itu bertujuan mengeratkan hubungan antara dua negara berjiran tersebut.

“Kelab ini baharu ditubuhkan tiga bulan lalu dan pertama kali menganjurkan program ini. Syukurlah kerana ia mendapat sambutan.

“Dalam program ini, kita berhenti rehat di beberapa kawasan seperti Satun dan Trang sambil beramah mesra dengan penduduk kampung sambil menghulurkan sumbangan berupa wang tunai,” katanya di sini.

Menurutnya, program tersebut mendapat tajaan Vertex Central Industries Sdn. Bhd. dan beberapa pihak lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV).

Katanya, sekiranya berjaya, KEMM akan melaksanakan program seumpa–manya di Acheh, Indonesia pada masa depan.

Dalam pada itu, pelbagai cabaran ditempuh peserta yang terpaksa berkayuh sejauh kira-kira 100 kilometer sehari dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Sepanjang perjalanan di wilayah Andaman itu, mereka melalui wilayah Satun dan Trang dan berhenti di beberapa tempat untuk berehat sambil bertemu penduduk.

Mereka turut dibantu pasukan sokongan dan perubatan yang mengiringi kayuhan ber–kenaan yang terdiri daripada tiga kenderaan trak pikap.

Dalam masa sama, peserta kayuhan turut membantu mempromosikan Perkampungan Sunnah Edisi Ke-4 yang diadakan di Masjid Alwi, Kangar bermula 28 hingga 30 April ini.