Baginda bertitah, sikap tergopoh-gapah, tidak bersabar, tidak berhati-hati dalam bertindak serta menggunakan perkataan kasar yang tidak sepatutnya diluahkan hanya akan menambah masalah dan tidak memberikan kesan positif dalam mendidik anak-anak dan pada masa yang sama bakal menambah krisis dalam rumah tangga.


“Ambillah nafas, bermuhasabah diri serta renungkan kesan daripada sesuatu tindakan yang diambil,” titah Baginda lagi.


Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran kempen ‘Op Sifar Keciciran Sekolah peringkat SMK Syed Saffi, SK Sungai Baru, SK Simpang Empat dan SJKC Simpang Empat yang diadakan di Masjid Amir Fawwaz, Simpang Empat, Perlis baru-baru ini.


Program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis melibatkan kehadiran 250 orang pelajar dan juga waris mereka dari kalangan asnaf terpilih itu turut mendapat sumbangan agihan zakat. Ia turut disekalikan dengan ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ Kali ke 20 pada tahun 2019 ini.


Bersempena majlis tersebut juga Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan Projek Peningkatan Sosio-ekonomi Asnaf MAIPs berupa sebuah kedai runcit ‘C-Mart Aida’ yang terletak di Kampung Padang Benta, Simpang Empat yang diusahakan oleh Aida Hasnani Ahmad Hashim (Tel: 0195666499). Syarikat berkenaan telah mendapat sumbangan MAIPs berjumlah RM2,000 dalam bentuk Bantuan Modal sebelum ini. - UTUSAN ONLINE