Bagaimanapun rata-rata yang ditemui tetap tenang ke­rana masalah lebihan harumanis pada musim ini disifatkan tidak teruk kerana masih ada ruang untuk jalan penyelesaian.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, penanam harumanis yakin Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tidak membiarkan mereka dibelenggu oleh masalah lambakan disebabkan permintaan kurang berban­ding pengeluaran yang meningkat dalam bulan puasa ini.

“FAMA telah berjaya menjenamakan semula sala kepada Perlis Sunshine yang dahulunya sekilogram hanya 80 sen dan kini meningkatkan kepada RM3.70,” kata Abdul Hamid Shariff, 70, ketika ditemui di Kampung Bilal Udoh, Chuping, dekat sini.

Abdul Hamid pada asalnya penanam sala tetapi kemudiannya melakukan cantuman dewasa ke atas pokoknya sehingga turut menghasilkan harumanis.

Jelas Abdul Hamid, sekalipun dia terpaksa akur kerana pengeluaran harumanis berlanjutan sehingga musim umat Islam berpuasa tetapi dia menyifatkan kesemua itu mesti dilalui de­ngan tenang.

“Apa yang penting sekarang, teruskan menjaga kualiti buah, jangan kerana bimbang tidak ada pasaran sehingga sanggup memetik buah yang tidak matang,” katanya.

Begitu juga dengan Mazlan Jusoh, 70, yang menegaskan dia yakin harumanis tetap ada permintaan sekalipun dalam bulan puasa ini.

“Paling kita kesal kerana sikap segelintir penanam yang sanggup memetik buah yang tidak matang dan menyebabkan kua­liti buah yang dijual tidak menepati harapan pembeli sehingga nama harumanis kini sudah tercalar,” katanya.

Menurut Mazlan, adalah sesuatu yang sangat dikesalkan­ kerana orang luar sudah tidak percaya harumanis selepas membeli buah yang tidak berkualiti, busuk dan masam sedangkan mereka membayar pada harga mahal disebabkan perbuatan segelintir petani yang mengusahakan harumanis tersebut.

Sehubungan itu beliau berharap FAMA akan dapat membantu penanam harumanis di negeri ini memulihkan kepercayaan orang luar bahawa kua­liti harumanis tetap terjamin.

Seorang lagi penanam harumanis, Hamid Yahya, 60, pula melahirkan rasa syukur kerana jualan buahnya masih berterusan.

“Ada usahawan bimbingan FAMA yang datang untuk memborong bagi menjual buah ini di luar Perlis,” katanya ketika ditemui di Kampung Gial, Mata Air dekat sini.

Beliau berkata, penglibatan usahawan bimbingan FAMA ini banyak membantu penanam untuk memasarkan buah de­ngan mudah khususnya di waktu berlaku lebihan pada musim ini.

Jelasnya, apa yang penting penanam harumanis terus menjaga kualiti seperti penjagaan pokok dengan sempurna, membalut buah dan memetik setelah matang.

Sehubungan itu, katanya, kualiti mempelam ekslusif dari Perlis perlu dijaga sesuai de­ngan harga jualannya sebagai mempelam termahal di Malaysia.