Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Mhd. Saiful Anuar Zainal, perkara itu telah diper­kenankan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamaluilail selaku Yang Dipertua MAIPs dan Pengerusi YTSP Perlis.

Beliau berkata, sekiranya berjalan lancar, kedua-dua pihak akan membincangkan perkara itu dalam masa terdekat.

“Kami akan melihat bentuk kerjasama ini yang mungkin dijalankan menerusi satu memorandum persefahaman (MoU).

“Kami melihat MAIPs boleh membantu meningkatkan ke­sedaran amalan kitar semula di kariah masjid manakalan YTSP di sekolah-sekolah,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri E-Ida­man Perlis di Kelab Golf Putra di Sungai Batu Pahat di sini, baru-baru ini.

Tuanku Syed Faizuddin ber­kenan mencemar duli berangkat ke majlis itu dengan diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Mhd. Saiful Anuar seterusnya berkata, setiap hasil yang diperoleh di masjid dan sekolah akan dipulangkan semula kepada institusi berkenaan untuk faedah komuniti setempat.

Katanya, pihaknya percaya menerusi kerjasama seumpama itu, objektif E-Idaman untuk mengurangkan sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah akan dapat dicapai.

Tambah beliau, pada masa ini, kesedaran penduduk di negeri ini khususnya di 25,000 buah rumah di taman-taman perumahan dianggarkan pada tahap kurang daripada 50 peratus.

“E-Idaman telah menyelesaikan isu penyediaan kemudahan dengan meletakkan sangkar-sangkar kitar semula di lokasi tertentu dan kini menyediakan kad pintar ‘Kitar Semula Untuk Kehidupan’ bagi menyelesaikan isu pemulangan faedah kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berharap dengan penyelesaian kedua-dua isu berkenaan, tahap kesedaran penduduk untuk mengitar semula akan meningkat pada masa hadapan.

Mhd. Saiful Anuar menambah, kad pintar ‘Kitar Semula Untuk Kehidupan’ adalah satu cara untuk masyarakat mendapatkan pulangan wang tunai hasil daripada aktiviti kitar semula yang mereka jalankan.

“Kad ini boleh digunakan di 30 premis tertentu yang mengambil bahagian yang pada masa ini termasuk pasar raya Giant,” katanya.