Sehingga kini, kad tersebut yang diberikan secara percuma telah diguna pakai oleh beberapa agensi kerajaan dan sekolah-sekolah tertentu sebagai percubaan selain kakitangan syarikat itu.


Ketua Peningkatan Kualiti dan Audit Teknikal E-Idaman, Munir Amani Dasheer berkata, kad itu nanti boleh digunakan untuk membuat pembelian di premis tertentu dengan buat permulaannya di Pasar Raya Besar Giant dan Mydin.


“Ini bermakna apabila kita menjual barangan kitar semula, nilai jualan (ringgit) akan dimasukkan ke dalam kad itu (Recycle For Life) dan kemudian boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan di premis terpilih,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas majlis ramah mesra E-Idaman bersama media negeri ini di sini hari ini.


Menjelaskan lebih lanjut Munir Amani berkata, buat permulaan, kad-kad tersebut dipegang oleh individu tertentu yang dilantik seperti guru besar atau ketua kelab kitar semula di sekolah untuk menjalankan jual beli.


“Namun kita sasarkan akan datang, setiap masyarakat berpeluang untuk menjual sendiri barangan kitar semula di lori-lori kutipan E-Idaman atau membawanya ke pusat-pusat pengumpulan yang disediakan.


“Nilai jualan akan dimasukkan di dalam kad masing-masing. Peluang ini turut melibatkan ahli-ahli jawatan kuasa penduduk, masjid dan surau yang bertanggungjawab terhadap sangkar-sangkar kitar semula yang kita sediakan,” katanya.


Tambah beliau, harga barangan kitar semula yang dijual adalah mengikut harga pasaran dan berbeza mengikut jenis iaitu sama ada plastik, kertas dan kaca. - UTUSAN ONLINE