Kebimbangan tersebut menjadi kenyataan apabila kebanyakan kawasan tanaman di negeri ini pada musim kali ini berdepan dengan masalah itu.

Difahamkan kali terakhir para petani di negeri ini berdepan dengan masalah tersebut ialah pada 2013.

Padi angin tidak diketahui puncanya dan ia akan merosakkan pokok padi yang sebenar.

Lazimnya padi angin juga mengeluarkan biji tetapi hasil­nya hanya berbentuk seperti hampas padi dan mudah terlerai apabila disentuh atau ditiup angin.

Bagi para pe­ngusaha, padi angin adalah an­caman terbesar berbanding den­gan­ serangan da­ri­pada haiwan perosak seperti tikus dan siput gondang.

Antara kawasan yang terjejas teruk dengan masalah ini ialah Sungai Baru Tengah; Simpang Empat; Kampung Belat Batu, Guar Sanji dan beberapa kawasan lain dengan para petani dianggarkan me­ngalami kerugian ratusan ribu ringgit.

Ketua Cawangan Komunikasi Korporat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Mohd. Hafizi Zakaria berkata, kira-kira 7,000 pesawah membabitkan kawasan seluas 15,000 hektar di negeri ini dan Kedah terjejas apabila kawasan tanaman padi mereka berdepan dengan masalah padi angin.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti masalah tersebut berpunca daripada faktor taburan hujan yang meningkat pada Ogos sehingga November tahun lalu iaitu ketika musim penanaman padi.

“Selain faktor taburan hujan, penggunaan benih yang kurang berkualiti juga dilihat menjadi penyebab masalah padi angin,” katanya.

Tambah Mohd. Hafizi, bagi mengelakkan masalah tersebut berulang pada masa depan, pihaknya akan membimbing para petani bermula musim tanaman selepas ini iaitu pada April.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli ketika ditemui selepas meninjau masalah padi angin di kawasan Sungai Baru Tengah baru-baru ini berkata, pengurangan kuota benih padi daripada 82,000 tan kepada 60,000 tan semusim menyebabkan pesawah terpaksa membeli benih padi di pasaran luar yang dilihat menjadi salah satu punca masalah tersebut.

“Benih padi di pasaran luar itu dikatakan mendatangkan masalah kepada pesawah apabila kurang berisi. Kita berharap agar pihak bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan masalah ini dan membela nasib para petani yang mengalami kerugian,” katanya.