Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah itu juga turut dapat membina keterampilan pelajar dan menerapkan nilai-nilai murni seperti keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi, kepemimpinan dan kerjasama.

Titah baginda, inovasi merupakan sesuatu kaedah atau sistem yang bertujuan untuk memudahkan kehidupan manusia pada masa depan.

“Menyedari kepentingan ino­vasi dalam kehidupan seharian, (maka) membudayakan inovasi dalam kalangan generasi muda perlulah dilakukan seawal usia mereka untuk memenuhi cabaran di peringkat globalisasi.

“Ini kerana inovasi mampu menjadi suatu ‘kuasa’ yang mampu mengubah cara bekerja rak­yat Malaysia dan masyarakat di dunia. Inovasi membolehkan pekerjaan menjadi lebih senang dan menjimatkan masa iaitu lebih cekap dan produktif,” titah baginda sempena majlis penutupan Program Simposium Kejuruteraan Kajian Pembelajaran dan Inovasi di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis (Unimap), di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Mu­da, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, menerusi inovasi penggunaan peralatan berkomputer untuk memantau dan mengawal mesin atau jentera, ia dapat me­ngurangkan beban kerja manusia.

Titah baginda, penggunaan perisian dan perkakasan komputer pula mampu mempercepatkan penyebaran ilmu atau maklumat terkini dalam talian umpamanya e-zakat dan e-hasil sekali gus menjamin kualiti kerja lebih baik dalam sesebuah organisasi.

“Sebagai contoh lain, pasaran produk tempatan boleh me­rentasi sempadan geografi iaitu walaupun dihasilkan di negara ini tetapi ia boleh dipasarkan ke seluruh dunia,” titah baginda.

Simposium selama sehari anjuran Unimap itu mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan ne­geri dan Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia.