Dalam masa sama, Azlan berkata, dari lubuk hati paling dalam, beliau yakin bahawa barisan Exco tersebut tidak akan membuat undi tidak percaya kepadanya sebagai Menteri Besar sebaliknya menganggap perkara itu hanya sebagai spekulasi semata-mata.

Katanya, sebagaimana titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, cukup-cukuplah berpolitik sebaliknya pada masa ini kesemua wakil rakyat perlu memberi fokus kepada pembangunan negeri dan tanggungjawab kepada rakyat yang telah memberikan kepercayaan.

“Lupakan politik dan terus mara ke hadapan. Saya yakin semua barisan Exco ini mempunyai visi dan agenda yang sama untuk memastikan kepentingan rakyat dan negeri ini terjaga. 

“Barisan Exco ini juga komited, agenda negeri akan diberikan keutamaan berbanding perkara-perkara lain. Saya juga yakin, mereka akan bekerja keras ke arah membangunkan negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelantikan Exco di Istana Arau di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mengangkat sumpah sebagai Exco di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin di di Balai Menghadap, Istana Arau.

Mereka yang dilantik itu ialah Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat); Asmaiza Ahmad (Chuping); Azizan Sulaiman (Santan); Rozaini Rais (Beseri); Siti Berenee Yahya (Mata Ayer); Hamizan Hassan (Kayang); Roziena Ahmad (Pauh) dan Teh Chai Ann (Titi Tinggi).

Tambah Azlan, sekarang adalah masa untuk bekerja kerana banyak lagi agenda yang telah diatur untuk memajukan negeri ini selain meneruskan projek-projek pembangunan sedia ada.

“Insya-Allah kita ada satu pasukan yang akan bergerak bersama-sama bagi memastikan Perlis dapat bergerak ke hadapan atau seiring dengan negeri-negeri maju lain,” katanya yang juga ADUN Bintong.- UTUSAN ONLINE