Raja Muda Perlis bertitah, antaranya mengamalkan budaya kebersihan yang amat tinggi sekali gus memupuk sifat bertanggungjawab sesama pekerja berusaha menjaga kebersihan kawasan masing-masing dan menyumbang kepada kebersihan kawasan persekitaran, seterusnya mengekalkan ruang kerja yang sentiasa selamat dan efisyen.

"Mereka akan menerima sesuatu kerja yang diberikan dengan rasa sederhana namun hasil yang diberikan sangatlah mengagumkan.

"Orang Jepun juga tidak memberikan alasan jika sesuatu kesalahan dilakukan sebaliknya mencari penyelesaian dan mereka dilatih dengan cara ini sehinggakan tiada kepentingan bagi mereka untuk menyalahkan sesiapa," titah baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli menghadiri majlis sambutan bersempena “Ulang Tahun Ke-60 Hubungan

Diplomatik Antara Malaysia Dan Jepun” yang dianjurkan oleh Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd di pekarangan pejabat mereka di Kawasan Perindustrian Jejawi, Perlis baru-baru ini.

Keberangkatan baginda disambut oleh Pengarah Urusan Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd, Keizo Sato serta para pegawai kanan beliau.

Hadir sama wakil dari pejabat Kedutaan Besar Jepun di Kuala Lumpur iaitu Sosuke Tanaka dan Takahiro Koyama serta wakil dari Pejabat Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Kosuke Nakagawa.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, syarikat-syarikat di Jepun membuat keputusan selepas meneliti terlebih dahulu dan bagaimana keputusan tersebut akan memberikan impak kepada syarikat secara menyeluruh.

"Dokumentasi serta mesyuarat-mesyuarat diadakan bagi menyemak keputusan yang bakal dibuat sekali gus meminimumkan

kesilapan dan meningkatkan konsistensi," titah baginda.

Terdahulu baginda melalui kolaborasi bersama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyertai acara Kayuhan Berbasikal 'MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke 65 bagi tahun 2017' diiringi kepimpinan Shorubber dan juga Perwakilan Negara Jepun yang hadir.

Program tersebut disekalikan juga dengan sambutan meraikan 'Hari Kebudayaan Jepun' atau dipanggil 'Bunka No Hi' yang di sambut bagi menghormati budaya Jepun tradisional dan mempromosikan semangat cintakan kebebasan dan keamanan.

Ia adalah antara salah satu perayaan yang paling besar di negara matahari terbit itu.

Para hadirin turut dihidangkan dengan persembahan seni mempertahankan diri 'Kendo' di akhir majlis.

Industri kilang pengeluar sarung tangan utama seluas 49 ekar di Jejawi Perlis ini memulakan operasi pengeluarannya pada tahun 1993 dan kini mempunyai sejumlah lebih kurang 2,400 orang kakitangan. Kewujudan Shorubber di Perlis secara tidak langsung telah banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri.