Azlan Man

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pada ketika ini, sebahagian besar harumanis yang menjadi tanaman ikon ne­geri itu, hanya dijual dalam bentuk buah segar.

Kata beliau, maka sebab itu, harga buah tersebut mudah terjejas di pasaran jika pengeluarannya me­lebihi permintaan apatah lagi ketika di bulan Ramadan.

“Ini mengambil kira hasil tanaman ini yang sentiasa meningkat pada setiap tahun kerana semakin ramai sudah menanam harumanis.

“Pada masa ini pun, harga buah ini sudah terjejas sehingga ada dijual pada RM12 sekilogram (berbanding RM35 sekilogram yang dijual Jabatan Pertanian negeri),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri yang dihoskan Yayasan Islam Negeri di Dewan Warisan, di sini hari ini.

Yang turut hadir barisan Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Menurutnya, usaha untuk mempelbagaikan industri hiliran mempelam harumanis harus dilakukan oleh petani dengan kerjasama pihak swasta.

Katanya, bagi kerajaan negeri, pihaknya bersedia menyalurkan bantuan geran, teknologi, bim­bingan pengurusan kewangan dan peralatan.

“Buat masa ini telah ada jus harumanis, tetapi saya berharap lebih banyak usaha dilakukan seperti menghasilkan teh atau kek berperisa harumanis,” katanya.