Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, oleh sebab itu, syariat tersebut perlu dihayati oleh semua pihak.

“Peranan zakat dalam mengangkat maruah umat Islam ini perlu dihayati oleh pihak penyumbang, pengurus dan penerima sumbangan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyertai program kayuhan berbasikal anjuran bersama MAIPs dan Lembaga Tabung Haji (TH) sejauh 12 kilometer yang bermula dan berakhir di Masjid Al A’la Behor Temak, di sini semalam.

Turut serta dalam program yang disekalikan dengan program ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ Kali Ke-32 bagi 2018 itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Badlisyah Abdul Ghani dan Pengarah TH negeri, Mohamad Zahir Hussin @ Yusof.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor yang turut hadir mengiringi baginda berkata, MAIPs telah menetapkan sasaran untuk menjejaki asnaf bertujuan mendekati dan mendengar keluhan mereka.

Selain itu, warga asnaf yang menerima bantuan MAIPs turut diberikan motivasi dan bimbingan melalui Program Bangun Jiwa untuk meningkatkan keyakinan diri dan keinginan untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Badlisyah pula memaklumkan bahawa TH menyumbangkan zakat perniagaan kira-kira RM60 juta setahun di seluruh negara dan turut terlibat dalam pelbagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada golongan masyarakat yang memerlukan saban tahun.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut mempertimbangkan untuk membina rumah bantuan di bawah projek ‘Baiti’ di negeri di masa hadapan.

Seramai 120 orang asnaf terpilih menerima agihan zakat MAIPs sebanyak RM600 seorang bersempena program tersebut. - UTUSAN ONLINE