Titah baginda, dalam keadaan ini, Jabatan Meteorologi serta pihak media termasuk Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) perlu memainkan peranan tersebut dengan lebih berkesan.

“Bilik gerakan banjir peringkat negeri pula boleh bertindak memainkan peranan sebagai penyelaras dalam pemusatan maklumat,” titah baginda semasa program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri di Pusat Pemindahan (PP) Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Ma­sya­rakat Negeri, Rela Ahmad, Ketua Polis negeri, Datuk Azisman Alias, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Pengarah JKM negeri, Mohammad Hazam Ismail.

Sebelum itu baginda mencemar duli dengan berbasikal untuk meninjau Kampung Tebing Tinggi dan Wang Besar yang merupakan dua buah kampung yang paling teruk dilanda banjir pada kali ini.

Dalam lawatan itu, baginda singgah di Terowong Tebatan Banjir di Tebing Tinggi dan memberikan sumbangan MAIPs kepada 60 asnaf dan juga mang­sa banjir.

Baginda bertitah, mana-mana agensi sama ada kerajaan mahupun swasta juga boleh menggunakan peluang yang ada untuk ‘turun padang’ dan melaksanakan perkhidmatan bantuan kepada mangsa terlibat secara tersusun.

Bagaimanapun titah bagin­da, proses permohonan dan kebenaran untuk membantu mangsa banjir ini perlu melalui JKM negeri atau pihak sekolah yang menempatkan mangsa banjir.