MOHAMAD TARMIZI GHAZALI
MOHAMAD TARMIZI GHAZALI

Apa yang pasti, nombor pendaftaran yang bermula dengan siri R dan RA sekitar 1970-an itu bakal meninggalkan nostalgia bagi rakyat negeri ini yang sudah sinonim dengan nombor pendaftaran dua huruf tersebut.

Bagi orang ramai yang sempat membuat tempahan nombor pendaftaran kenderaan RY yang menjadi siri terakhir dua huruf sebelum ini, pasti bertuah kerana menjadi sebahagian daripada sejarah negeri ini.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat JPJ negeri, Mohamad Tarmizi Ghazali berkata, proses perubahan nombor pendaftaran kenderaan di Perlis unik kerana bergerak perlahan dan memakan masa puluhan tahun untuk sampai ke siri baharu tiga huruf.

Katanya, selepas ini, pastinya rakyat di Perlis akan melihat suasana baharu apabila nombor pendaftaran kenderaan sudah berubah kepada siri tiga huruf.

“Hari ini, berakhirlah era kegemilangan nombor pendaftaran dua huruf apabila tempatan untuk siri RY telah ditutup. Bermula esok orang ramai boleh membuat tempahan siri RAA.

“Tempahan siri RAA ini akan berakhir pada 7 Ogos depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, antara punca nombor pendaftaran kenderaan di Perlis lambat bergerak adalah kerana pada masa dahulu, rakyat di negeri ini tidak begitu berminat dengan siri dua huruf dan mereka lebih gemar membeli nombor pendaftaran dari negeri lain.

Bagaimanapun katanya, sejak daripada pengeluaran siri RM, tempahan pada masa itu bergerak dengan cepat dan diikuti dengan siri-siri lain sehingga RY.

“Malah salah satu nombor pendaftaran RM juga pernah mencipta sejarah apabila bidaannya pernah mencecah lebih RM400,000.

“Saya juga percaya, selepas ini khususnya rakyat di negeri ini akan merindui nombor pendaftaran dua huruf yang sebelum ini hanya di Perlis,” katanya. - UTUSAN ONLINE