Pada peringkat awal, segala program dan pengajian agama diadakan di rumah Syeikh Noor sendiri iaitu di Kampung Ke­risik, Mata Ayer.

Sejak itu, Sheikh Noor tidak menoleh ke belakang lagi sebaliknya terus ber­usaha menyebarkan dakwah ke arah menegakkan syiar Islam menerusi platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan tersebut.

Bagaimanapun, pada 1984, Sheikh Noor telah kembali ke Rahmatullah, namun segala usaha Allahyarham selama ini tidak sia-sia apabila perjuangan itu diteruskan oleh anak-anak muridnya.

Hari ini, Al-Islah terus ber­kembang pesat dengan pelbagai program keagamaan diadakan di sebuah bangunan sendiri yang menjadi pusat NGO tersebut di Kilometer 2, Jalan Mata Ayer di sini.

Al-Islah mene­rima sesiapa sahaja yang ingin mendalami ilmu Islam menerusi kelas pe­ngajian yang disediakan.

Selain itu, Al-Islah juga menjadi pusat jagaan anak-anak yatim yang ditempatkan di situ sejak 2008.

Mereka yang dijaga sejak umur setahun sehingga 17 tahun itu bukan sahaja menerima ilmu pendidikan agama yang mencukupi, malah mereka juga dihantar ke sekolah harian biasa selain dipelihara dengan penuh kasih sayang oleh pengurusan persatuan itu.

Yang Dipertua Al-Islah, Muhammad Ihsan Idris berkata, matlamat persatuan tersebut sejak awal penubuhannya sehingga hari ini adalah bagi mendidik masyarakat agar kembali kepada ajaran Islam.

Katanya, kelas pengajian agama khususnya untuk golongan dewasa diadakan setiap hari kecuali Sabtu bermula pukul 9.45 malam.

“Kita memfokuskan penga­jian kitab hadis, fekah dan akidah.

Pada hari Jumaat dan Ahad pula kita juga menyediakan slot kuliah duha pada pukul 9.30 pagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, kata Muhammad Ihsan, pihaknya menerima sumbangan atau infak daripada orang ramai ketika mula membina bangunan dan dewan pengajian itu pada 1991.

“Pada asalnya kelas pengajian agama dijalankan di rumah Syeikh Noor dan di tapak itulah tertubuh Persatuan Al-Islah Perlis sehingga beliau meninggal dunia pada 1984,” katanya.