Beliau yang lebih dikenal sebagai Pak Lah, 45, mengaku sangat sayang dengan barang yang dibuang kerana percaya ia boleh digunakan semula.

“Sejak 1993 lagi saya melakukan kerja mencari bahan terbuang dan kebanyakannya daripada bahan itu setakat ini saya cipta menjadi replika helikopter,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Guar Syed Alwi - Padang Behor, di sini baru-baru ini.

Bapa kepada dua orang anak ini menjadikan bahagian tepi rumahnya sebagai bengkel untuknya menghasilkan barang dari bahan kitar semula di masa yang terluang tanpa mengira waktu.

Mansor memberitahu, beliau suka mencipta replika helikopter kerana minatnya kepada pesawat ini sejak kecil lagi.

Bagaimanapun katanya, ketika mencipta helikopter ini dia lebih banyak bergantung kepada imiginasi dengan menggabungkan dengan barang terpakai yang didapati sesuai pada ketika itu.

“Biasanya kalau nak siapkan sebuah helikopter yang berukuran panjang 3 meter dan lebar 1.07 meter yang seberat 20 kilopgram ini mengambil masa selama seminggu sahaja,” katanya yang bekerja pendawai elektrik.

Mansor berkata, proses untuk mencipta sebuah helikopter itu bukan semuanya memerlukan peralatan yang sama.

Katanya, bagi mencipta sebuah helikopter biasanya dia memerlukan bahan terbuang daripada peralatan mesin basuh, kipas siling, televisyen dan motosikal.

Tambahnya, bila perkakas itu ada di hadapannya, barulah dia akan mulakan usaha untuk menciptanya dari satu bahagian ke satu bahagian.

Sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Ke-58 baru-baru ini, beliau menghasilkan dua replika helikopter untuk dijadikan sebagai hiasan di kampung kelahirannya di Kampung Behor Gandil, Jalan Raja Syed Alwi, di sini.

Mansor memberitahu, sehingga kini dia telah menghasilkan tujuh replika helikopter.

“Saya pernah menjual sebuah replika helikopter kepada seorang peniaga di Padang Besar dengan harga RM700,” katanya.

Selain itu, beliau pernah mendapat tempat ketiga dalam Pertan­dingan Reka Cipta Replika sempena Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014 anjuran Jabatan Penerangan Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri pada tahun lalu.

Kelebihan Mansor dalam bidang ini menyebabkan dia diundang Sekolah Kebangsaan (SK) Jejawi, Arau dekat sini baru-baru ini untuk memberikan taklimat kepada 80 murid berhubung kebolehannya mencipta replika helikopter yang dihasilkan dari barang kitar semula.

Kata Mansor, dia juga menghasilkan beberapa barangan lain termasuk bunga hiasan, gelas, bakul dan sebagainya.

Bagaimanapun beliau lebih banyak menumpukan kepada penciptaan helikopter yang menjadi minatnya selama ini.

Dia bersedia untuk menerima tempahan jika ada pihak yang mahu dia menghasilkan replika helikopter.