Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau sendiri akan ke negeri itu bagi meninjau perkembangan banjir esok.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima keadaan banjir di Pulau Pinang pada masa ini dalam keadaan terkawal.

"Polis akan mengetuai operasi menyelamat dengan dibantu oleh bomba dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memindahkan mangsa-mangsa yang terlibat.

"Orang ramai juga boleh menghubungi saya sendiri atau mesej di talian 019-4545111 dan bantuan akan segera disalurkan," katanya ketika ditemui selepas menutup Kursus Jurulatih Berbasikal Spesifik Kebangsaan (Tahap 1) di sini hari ini.

Shahidan yang juga Presiden Persatuan Lumba Basikal Perlis (PLBP) berkata, pihaknya juga sedang memantau perkembangan situasi banjir di Kedah dan Perak yang juga berada di tahap merah. - UTUSAN ONLINE