NOOR HAIRI NOOR MOHAMMED
NOOR HAIRI NOOR MOHAMMED 

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selain berharap keadilan dan kebenaran akan dapat ditegakkan dalam kes berkenaan.

Bagi Pemuda UMNO negeri, mereka berharap pendakwaan itu nanti akan berlaku dengan seadil-adilnya.

Dalam masa sama, gerakan itu juga mempersoalkan mengenai kes seorang bekas pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman yang sehingga kini masih belum didakwa meskipun mempunyai bukti jelas lelaki berkenaan merakam bawah skirt seorang wanita di sebuah kedai cermin mata dalam kejadian kira-kira dua bulan lalu.

Di dalam kes pegawai menteri itu, ia bukan sahaja mempunyai bukti jelas melalui video yang tular, malah mangsa tersebut juga membuat laporan polis.

Berbeza dengan kes Shahidan, keluarga mangsa telah menarik laporan selain menyifatkan situasi itu hanya salah faham namun pendakwaan masih berjalan.

Soal Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hairi Noor Mohammed, adakah kerajaan Pakatan Harapan mengamalkan pilih kasih atau dwi standard dalam kes melibatkan pemimpin pembangkang.

“Saya bukan ingin membela sesiapa, tetapi kalau dilihat secara logik, kes yang belum tahu kebenaran seperti Shahidan ini diambil perhatian serius sedangkan kes melibatkan pegawai menteri (rakam bawah skirt wanita) yang terang-terang mempunyai bukti jelas selain video dibiarkan tanpa pendakwaan.

“Dalam kes Shahidan, laporan kes telah ditarik balik oleh pihak pengadu tidak sampai 10 jam dan kedua-dua pihak juga telah saling bermaaf-maafan kerana salah faham itu. Secara amnya, kes ini telah dianggap selesai, tetapi apabila ia dibangkitkan oleh pihak tertentu, ia mendapat perhatian ramai.

“Dan lebih menghairankan, kes ini telah menarik minat pihak-pihak yang berkaitan di peringkat Pusat dan seterusnya membawa kepada pendakwaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, di laman sosial Facebook juga terdapat dalam kalangan netizen yang mempersoalkan isu bekas pegawai menteri itu yang sehingga kini masih belum didakwa. - UTUSAN ONLINE