Baginda bertitah, keadaan itu lazimnya berakhir dengan campur tangan kuasa asing dan pepe­rangan seterusnya mengakibatkan negara berkenaan hilang hak ketuanan dan rakyat pula menderita.

“Beta berharap, keharmonian dan kemakmuran yang kita bina dan nikmati ini kekal berpanjangan dan diwarisi sehingga ke generasi akan datang. Marilah kita sama-sama menginsafi dan menghayati erti kemerdekaan yang tidak ternilai harganya ini.

“Ingatlah, peperangan itu me­rugikan, bak kata pepatah 'yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu',” titah baginda yang teks­nya dibacakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat negeri di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini malam tadi.

Berkenan berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man serta barisan kepemimpinan negeri.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, seluruh rakyat, pada masa sama juga diminta bijak menilai agar tidak sesekali terperangkap dengan tipu muslihat yang mampu memecah-belah serta menjatuhkan maruah negara dan ketamadunan bangsa ini.

“Ini termasuklah menolak penyebaran ideologi sekularisme, liberalisme dan ekstremisme. Ia amat berbahaya kerana boleh menyebabkan masyarakat hilang jati diri dan nilai-nilai agama yang menjadi tunjang kepada keperi­badian manusia.

“Media sosial juga hendaklah digunakan dengan bijak oleh semua untuk perkara positif, memanfaatkan serta memperluas­kan minda kita dan bukan sebaliknya,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya mengucapkan tahniah kepada kepemimpinan kerajaan negeri, jentera penganjur dan peserta yang merealisasikan perhimpunan yang meriah ini.

“Pada kesempatan ini, beta ingin mengucapkan rasa kasih dan penghargaan kepada seluruh rakyat yang meluangkan masa beramai-ramai untuk memeriahkan perhimpunan dan perarakan tersebut.

“Kehadiran yang ditunjukkan ini adalah satu penzahiran rasa cinta dan taat setia tidak berbelah bahagi kepada negeri dan negara kita yang tercinta,” titah baginda.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada kontinjen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang mengungguli temasya ke-29 itu yang juga melibatkan penyertaan anak-anak jati Perlis.