Tidak kira tua atau muda, kira-kira 700 peserta termasuk pesakit kanser mengambil bahagian dalam Larian Amal Pink Wig-A-Thon begitu tenang meredah hujan bagi menamatkan la­rian sejauh 5.5 kilometer sebagai tanda memberikan sokongan dan semangat kepada pesakit kanser serta untuk menyedarkan masyarakat tentang bahayanya penyakit ini.

Sokongan padu ini juga turut diberikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan mencemar duli menyertai larian amal ini yang bermula dan berakhir di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Arau.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Laila­tul Shahreen Akashah Khalil dan dua anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Pelepasan larian dilakukan oleh pengerusi program yang juga Bendahari Yayasan Amal Tuanku Hajah Budriah, Datin Seri Sharifah Hishmah Shahabudin.

Sharifah Hishmah juga me­nga­lungkan medal kepada ba­ginda berdua setelah berjaya menamatkan larian amal tersebut.

Para peserta yang berjaya menamatkan larian amal ini juga dikalungkan medal oleh sukarelawan.

Sebelum memulakan larian amal ini, para peserta menyertai senamrobik.

Bagaimanapun keletihan me­re­dah hujan berbaloi apabila di akhir larian amal ini diadakan cabutan nombor bertuah dengan pelbagai hadiah menarik disediakan untuk peserta yang bernasib baik.

Larian amal ini yang dianjurkan oleh Yayasan Amal Tuanku Hajah Budriah juga mendapat kerjasama Persatuan Kumpulan Sokongan Kanser Negeri Perlis (Perken) dan Pink Ribbon Wellness (L) Foundation Malaysia.

Setiap peserta dikenakan bayaran RM80 manakala untuk pesakit kanser RM65.

Sempena dengan larian ini juga diadakan pemeriksaan kesihatan, pameran dan juga gerai jualan makanan.

Sementara itu, Norita Jirin, 48, yang menyewa gerai Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) memberitahu, dia memperkenalkan Nasi Dagang dan Nasi Lemak Harumanis Terengganu sempena larian amal ini.

“Saya bersimpa­ti dengan nasib pe­sakit kanser dan ber­harap kita semua me­ngambil langkah pencegahan awal bagi mengelak penyakit ini,” katanya yang mencipta sendiri sambal istimewa Harumanis.

Norita bersyukur kerana jua­l­an­­nya bukan sahaja laris dan sekali gus dapat memberikan sumbangan untuk tabung pesakit kanser di Perlis.