Dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang itu, pihak berkuasa tersebut turut menahan seorang lelaki berusia 58 tahun yang sedang mengawasi gudang tersebut.

Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, serbuan itu adalah hasil daripada maklumat awam dan risikan yang dilakukan pihaknya terhadap gudang berkenaan yang menjadi lokasi penyimpanan minuman keras disyaki tidak membayar cukai itu.

“Hasil pemeriksaan, kita menemukan sejumlah 574 karton minuman keras pelbagai jenama di situ,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Aksem Kuala Perlis di sini, hari ini.

Tambah Syed Basri, hasil siasatan mendapati mereka cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menampal label cukai Kastam palsu pada minuman keras berkenaan.

“Semakan yang dilakukan mendapati semua label Kastam berkenaan adalah palsu dan suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai cukai atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.- UTUSAN ONLINE