Pengarahnya, Zulkifli Amin Mat Jusoh berkata, keadaan ini menyebabkan ada kalangan pembeli harumanis yang tidak senang hati apabila mendapati buah ini busuk walaupun telah membayar pada harga yang mahal.

“Tolonglah balut jika bercadang untuk menjual buah ini kerana jika tidak, ia akan mengundang risiko yang sangat tinggi untuk rosak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zulkifli Amin berkata, sekalipun ada penanam harumanis mendakwa tidak mempun­yai pembalut khas tetapi mereka masih boleh berbuat demikian dengan menggunakan kertas akhbar.

“Sekurang-kurangnya buah ini masih boleh dilindungi daripada mengalami kerosakan,” katanya.

Beliau berkata, ada segelintir individu yang menanam harumanis untuk mendapatkan hasil semata-mata tetapi enggan menjaga pokok ini secara serius termasuklah melakukan kerja membalut buah.

Jelasnya, disebabkan hanya mahu untung, maka tidak ambil peduli sama ada buah yang dijual itu berkualiti atau tidak.

Tambahnya, ada juga mengambil kesempatan untuk menjual harumanis yang tidak berkualiti ini pada harga jauh lebih murah daripada pasaran.

Zulkifli Amin berkata, sesiapa sahaja yang menanam harumanis untuk dijual mesti bertanggungjawab menjaga nama baik kualiti buah ini.

Katanya, jika nama harumanis tidak dijaga, sudah pasti potensi pasarannya pada masa akan datang terjejas.

Beliau berkata, sebaiknya antara penanam harumanis perlu bersaing untuk menghasilkan buah yang berkualiti sehingga mampu dipasarkan ke luar negara.