Menurut seorang imam yang enggan namanya didedahkan, segelintir imam terbabit masih berpendapat bahawa penamatan jawatan tersebut sebagai tidak wajar.

“Sebahagian mereka masih berdegil kerana berpendirian bahawa tindakan berdemonstrasi di masjid adalah sebahagian daripada hak mereka.

“Kalau diikutkan tidak semua imam (yang ditamatkan perkhidmatan itu) memberontak kerana mereka faham ini adalah isu khilaf dalam fekah agama.

“Cuma ia menjadi isu apabila terdapat sebilangan kecil imam yang menggunakan platform politik dalam menegakkan hak ,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Baru-baru ini, tular sekeping surat dikeluarkan JHEAIPs berhubung pemecatan seramai 25 orang imam kariah di negeri ini manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan.

Bagaimanapun, Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin kemudian menjelaskan penamatan jawatan itu adalah untuk memberi laluan kepada golongan muda.

Dalam masa sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut meminta 25 orang imam yang ditamatkan perkhidmatan dan dipecat agar menerima keputusan yang dibuat oleh majlis agama negeri itu dengan hati terbuka dan berlapang dada.

Sebelum itu, sebahagian jemaah dari 10 buah masjid dari negeri ini juga telah mengadakan perhimpunan secara aman bagi membantah penamatan perkhidmatan dan pemecatan imam di masjid-masjid terbabit.

Dalam pada itu, imam terbabit enggan menyatakan jumlah pampasan yang bakal diberikan oleh JHEAIPs kerana bimbang akan dipolemikkan oleh pihak tertentu.

Sementara itu, Pengarah JHEAIPs, Dr Hazman Hassan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan.- UTUSAN ONLINE